Wednesday, 19 October 2011

Lagu Pantun



Contoh lagu yang dihasilkan berteraskan pantun Melayu lama..

Sketsa Berpantun

Fungsi Pantun

1. Untuk mendidik
Masyarakat Melayu terutamanya golongan tua kaya dengan pelbagai nasihat. Sebagai golongan yang ‘makan garam’ terlebih dahulu pastinya mereka mempunyai pelbagai pengalaman hidup dan amat peka terhadap perubahan sesuatu perkara. Justeru, jika mereka mendapati ada sesuatu perkara yang tidak kena atau bertujuan untuk memberikan peringatan kepada golongan muda atau kanak-kanak, mereka akan menggunakan pantun sebagai alat untuk menyampaikan nasihat dan didikan. Contohnya seperti pantun Melayu lama ini;

Air melurut di tepian mandi,
Kembang berseri bunga senduduk;
Elok diturut resmi padi,
Semakin berisi semakin tunduk.


2. Untuk menyampaikan penghargaan atau terima kasih 


Masyarakat Melayu juga terkenal sebagai masyarakat yang tahu mengenang budi dan jasa. Oleh itu, banyak dapat kita lihat pantun Melayu yang dicipta untuk menyampaikan rasa penghargaan dan terima kasih kepada orang-orang yang telah berjasa atau berbudi. Antara pantun yang popular sehingga sekarang ini adalah seperti pantun di bawah:


Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.


3. Untuk menguji minda 


Pantun juga dicipta untuk tujuan mencabar ketangkasan fikiran. Pantun-pantun sebegini amat digemari ramai terutama golongan kanak-kanak. Pantun yang menguji minda ini dinamakan pantun teka-teki. Antara contoh pantun Melayu lama yang masih diingati ialah;

Kalau tuan pergi ke kedai,
Belikan saya buah keranji;
Kalau tuan bijak pandai,
Apakah binatang keris di kaki?


4. Untuk hiburan 


Pantun juga dicipta oleh masyarakat Melayu untuk tujuan hiburan. Pada zaman dahulu, masyarakat Melayu akan berhibur dengan melafazkan pantun-pantun bersifat jenaka atau mengusik. Contohnya seperti pantun Melayu lama di bawah yang sememangnya kita ingat sejak kecil lagi.
Tuan Puteri memasang panjut,
Dayang tolong menghalau lalat;
Kucing tidur bangkit terkejut,
Melihat tikus pandai bersilat.
 

Jenis-jenis pantun

1. Dua Kerat
            Buah beluluk buah kepayang,
            Dimakan mabuk dibuang sayang.

2. Empat Kerat
              Kelip-kelip disangka api,
              Kalau api di mana puntungnya;
              Hilang ghaib disangka mati,
              Kalau mati di mana kuburnya?

             Orang Rengat menanam betik,
             Betik disiram air berlinang;
             Hilang semangat penghulu itik,
             Melihat ayam lumba berenang
 
            Burung merbuk membuat sarang,
            Anak enggang meniti di paya;
            Tembaga buruk di mata orang,
            Intan berkarang di hati saya.

           Air melurut ke tepian mandi,
           Kembang berseri bunga senduduk;
           Elok diturut resmi padi,
           Semakin berisi semakin tunduk.

           Tingkap papan kayu bersegi,
           Sampan sakat di Pulau Angsa;
           Indah tampan kerana budi,
           Tinggi darjat kerana bahasa.

            Anak rusa nani,
            Baru kembang ekor;
           Apa dosa kami,
            Lalu tidak tegur.

            
                   

Definisi Pantun

Pantun merupakan satu puisi Melayu sejati. Pantun terpendek terdiri daripada dua baris yang mempunyai ikatan berirama dan mempunyai sebutan yang sama dihujungnya. Baris-baris ini pula boleh dikumpulkan menjadi empat, enam ataupun lapan baris. Jarang terdapat pantun yang melebihi lapan baris dan pada kebiasaannya pantun terdiri daripada empat barisan.
Pantun terbahagi kepada dua bahagian sama banyak rangkapnya, iaitu bahagian pembayang dan diikuti pula dengan maksud pantun. Bahagian pembayang bagi pantun empat kerat terdiri daripada dua ayat pembayang dan dua ayat maksud, dan bagi pembayang pantun lapan kerat adalah empat ayat pembayang dan empat ayat maksud dan demikianlah seterusnya.